Pada asalnya Hari Gawai adalah perayaan yang lebih berbentuk keagamaan bagi suku kaum Dayak yang terdiri daripada tiga suku kaum utama termasuklah Iban, Bidayuh dan Orang Ulu sebagai tanda berterima kasih kepada 'Petara' pada setiap kali selepas musim menuai dan sebelum memulakan penanaman padi untuk musim seterusnya. Perayaan Gawai Dayak menuntut masyarakatnya menghargai budaya dan memastikan ‘semangat’ padi sentiasa dan terus dihormati.
Persediaan awal sebulan sebelum perayaan biasanya menyediakan air tapai yang dikenali sebagai Tuak. Pada sehari sebelum perayaan pula, kaum wanita akan sibuk bekerjasama membuat kuih tradisional seperti kuih penyaram, kuih sepit, kuih jala, kuih cap dan penganan yang diperbuat daripada tepung beras dan santan kelapa. Pansuh ayam menjadi kemestian untuk juadah bersama keluarga ataupun tetamu yang datang berkunjung. Dalam pada itu, golongan tua akan mula membakar lemang pulut di pekarangan rumah bagi kegunaan adat istiadat terutamanya upacara miring yang akan dipersembahkan kepada Dewa Padi dan Kekayaan.




Di musim perayaan Gawai, banyak pertandingan kecantikan bagi memilih rupawan yang bukan sahaja memiliki rupa paras yang cantik dan menarik malah mempunyai pengetahuan yang luas. Keindahan busana tradisi mereka terletak pada keaslian tenunan pua kumbu yang disarungkan serta aksesori perak yang bergemerlapan ketika menarikan Tarian Ngajat.