mongkos, kampung asli Bidayuh

Bagi sesetengah orang, Serian terkenal dengan keramahan dan kemesraan penduduk yang rata-ratanya adalah suku kaum Bidayuh. Kampung Mongkos merupakan salah satu perkampungan Bidayuh asli yang terletak di Serian dengan jarak kira-kira 103km perjalanan dari Bandaraya Kuching. Seni reka bentuknya terpelihara semenjak tahun 1959 dan masih kekal hingga ke hari ini.

rumah panjang kampung mongkos

tunggu nak start shooting

Tidak banyak berbeza dengan homestay lain di Sarawak, Homestay Kampung Mongkos menawarkan fasiliti asas untuk keselesaan pengunjung dengan harga yang berpatutan. Bagi pengunjung yang menggemari aktiviti lasak, sahutlah cabaran berkunjung ke Batu Kapal Bugis dengan merentasi hutan bersama penduduk kampung yang bersedia mengiringi pengembaraan anda. Kesempatan berkunjung ke Air Terjun Silungkung yang terletak di Bukit Niat merupakan peluang yang tidak harus dilepaskan kerana kejernihan sungai dan kesejukan air terjunnya pasti meninggalkan pengalaman yang sukar dilupakan.

Batu Kapal milik Orang Kaya Bugis

unik tak tumbuhan liar ni?

kawan2 dari Kampung Mongkos

air terjun Silungkung di Bukit Niat

Malam Kebudayaan yang diadakan di Rumah Panjang Kampung Mongkos merupakan kemuncak aktiviti pengunjung homestay bersama penduduk kampung. Pada malam tersebut kira-kira 6 jenis tarian yang dipersembahkan termasuklah Langi Pengadap yang ditarikan bagi mengalu-alukan kedatangan tetamu.

anak2 muda gigih mempelajari tarian tradisional

Warisan yang menjadi kemegahan masyarakat pribumi haruslah terus dipelihara dan dikekalkan demi mengangkat martabat suatu khazanah yang melambangkan identiti yang tersendiri. Malah panorama hutan semulajadi di Kampung Mongkos menjadi aset penting untuk industri pelancongan di Sarawak. Khazanah alam yang terus dipelihara ini menjadi warisan dari zaman ke zaman sekaligus mampu menjana pendapatan dan taraf ekonomi penduduk setempat.