A Story About Gawai


GAWAI DAYAK - more than festival celebration. it's tradition of cultural, spirit of ritual and authentication of costume.
Seperti tahun-tahun yang sudah, perayaan gawai menjadi salah satu hari yang amat dinanti-nantikan bagi suku kaum Iban terutamanya di bahagian Kapit, Sarawak. Yang tinggal di bandar semuanya pasti tak sabar nak balik kampung untuk meraikan festival itu bersama keluarga tercinta. Memandangkan hanya jalan air menjadi penghubung utama, orang ramai menggunakan perahu panjang ataupun bot express untuk sampai ke destinasi rumah panjang masing-masing.
Bagi penduduk kampung Rumah Sumbang Nanga Selaut, kerjasama yang erat dalam pelbagai hal sentiasa dititikberatkan, yang lelaki mencari bahan makanan dari hutan untuk dibuat jamuan bersama keluarga. Tahun ini, umbut kelapa dijadikan menu utama seisi keluarga. Binatang ternakan disembelih untuk hidangan kepada para tetamu yang datang.
Menjelangnya awal pagi 31 mei, tawak akan dimainkan bagi menandakan bermulanya festival Gawai. Dengan alunan yang bersahaja penduduk kampung mengetahui persiapan untuk meraikan Gawai harus disediakan selengkap-lengkapnya.
Adat Teresang Tinggi merupakan upacara yang meriah dan penuh dengan istiadat. Terlebih dahulu teresang akan didirikan dengan menggunakan buluh, apabila selesai, semua ahli keluarga akan duduk di tanju rumah panjang untuk mendapatkan berkat dari mereka yang mengetuai adat bacaan doa khas Biau. Piring yang telah siap akan diletakkan pada atas teresang oleh pemilik piring yang telah diberkati.
Bagi kaum belia dan wanita pula, persiapan ranyai dilakukan dengan meriah dan penuh kegembiraan, sebatang pokok (biasanya pokok pisang) akan didirikan di tengah diruai rumah panjang serta digantung dengan makanan dan minuman sebagai tanda tapak utama sambutan Hari Gawai Dayak.
Ketika sambutan Gawai juga, diadakan majlis sambutan kelahiran. Dikunjungi oleh hampir semua ahli rumah panjang, nyata sikap perpaduan dan kemesraan penduduk seperti Satu Malaysia, Satu Keluarga.
Malam semakin menjelang, piring yang terdiri daripada telur, bertih, pulut dan banyak lagi bahan persembahan akan dibawa ke ruai dan disusun sebelum datangnya tetamu untuk memberkati piring tersebut dengan adat Biau. Setiap pintu bilik akan menyediakan piring masing-masing dan dimulakan dari pintu pertama hingga yang terakhir. Aktiviti ini dilakukan sehinggalah larut malam.
Tepat jam 12, "ai pengayu" akan diberikan kepada setiap ahli keluarga dan bermulalah aktiviti kunjung mengunjungi antara warga rumah panjang. Ranyai yang didirikan pada siang hari akan mula "ditebang" dan tarian ngajat lelaki dan wanita dipersembahkan mengelilingi ranyai.
Majlis perkahwinan juga merupakan upacara yang selalunya diadakan ketika hari Gawai. Mengenakan persalinan lengkap pakaian Iban, pastinya pasangan pengantin tampak secocok dan serasi bersama. Dalam pada itu, orang kampung yang turut hadir akan berseronok dengan menikmati makanan yang disediakan sambil menarikan pelbagai tarian yang kadang kala mencuit perasaan. Tua dan muda semuanya bersukaria hingga ke penamat majlis. Selamat Hari Gawai dayak 2011 !
p/s Sambutan Gawai tahun ini adalah yang paling seronok diadakan di kampung saya !

Subscribe to:
Posts (Atom)