Ohya, baru-baru ini saya membawa kawan dari Semenanjung untuk berjalan-jalan di Pasar Satok untuk membeli ikan Terubok. Melintasi satu persatu gerai di situ, perhatian saya teralih pada satu produk hiliran masyarakat kampung "Gula Apong". Jika Melaka terkenal dengan Gula Melaka atau Gula Merah, Sarawak pula
terkenal dengan Gula Apong, yang juga hampir menyerupai Gula Merah. Bezanya, Gula
Melaka terhasil menggunakan nira pokok kelapa atau pokok enau, sedangkan Gula Apong
dihasil menggunakan nira pokok nipah, yang sememangnya banyak terdapat di sepanjang sungai di Sarawak terutama di Kota
Samarahan dan juga Betong.
Kebiasaannya
pengusaha Gula Apong akan menadah air sadap menggunakan bekas buluh untuk
mengekalkan keaslian rasanya. Air sadap sebenarnya berpunca dari batang pangkal
mayang pokok nipah yang telah dicantas permukaannya. Proses akan dibiarkan semalaman
untuk memastikan bekas buluh tersebut penuh. Keesokan harinya seawal jam 7
hingga 9 pagi, pengusaha mula mengutip hasil air sadap sebelum memasaknya
menggunakan kawah besar yang mengambil masa selama kira-kira lima hingga enam
jam. Teknik konvensional yang digunakan sememangnya memerlukan ketelitian serta
kesabaran nan tinggi. Ia perlu digaul dengan cermat supaya masak sepenuhnya. Proses
yang rumit juga menyebabkan kapasiti pengeluaran terhad dan kadang kala tidak dapat
memenuhi peningkatan permintaan dari penggemar hasil Gula Apong.
Jika anda
berkesempatan ke pasar tamu yang berhampiran, Gula Apong Sarawak boleh didapati
dengan harga RM3 sebungkus. Penggunaan Gula Apong oleh penduduk kampung sangat
popular sebagai bahan utama untuk membuat pelbagai kuih muih tradisional
masyarakat Sarawak seperti Celorot dan Kuih Takir. Ia juga dijadikan perisa
bagi menambah kelazatan sesuatu makanan atau minuman terutamanya Teh C Peng
mahupun Kuah Rojak Istimewa.
[credit picture of Celorot for sarawakianaii.blogspot.com]
Selain kesedapan rasanya, Gula Apong dipercayai
mempunyai kelebihan untuk mengelak serta mengurangkan penyakit kencing manis
dan darah tinggi. Bagi yang pertama kali, dapatkan produk Gula Apong Sarawak
dan cubalah sendiri resipi berasaskan Gula Apong ini.